Monday, December 29, 2014

Sesi Persekolahan Bagi Tahun 2015 Ditangguh Akibat Banjir




Kementerian Pendidikan Malaysia bersetuju menangguhkan permulaan sesi persekolahan bagi tahun 2015 selama seminggu berikutan banjir yang melanda negara ketika ini, demikian umum Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dengan penangguhan ini, tarikh baru sesi bermula persekolahan tahun 2015 bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor adalah pada Ahad,11 Januari 2015.


Manakala bagi negeri-negeri lain pula akan bermula pada hari Isnin,12 Januari 2015.


"Seperti semua pihak maklum banjir yang sedang melanda negara sekarang masih berterusan khususnya di negeri-negeri pantai timur Semenanjung Malaysia," katanya.

Sehingga pada tarikh 28 Disember 2014, Kementerian Pendidikan Malaysia mendapati sejumlah 340 sekolah daripada tujuh negeri terlibat dengan banjir, sama ada dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara  atau sekolah tersebut ditenggelami air akibat banjir.

"Sebagai Menteri Pendidikan, saya amat memahami dan mengambil berat akan kesukaran yang bakal dihadapi oleh semua pihak termasuk pengurusan sekolah, guru-guru, ibu bapa dan murid-murid sekiranya persekolahan bagi tahun 2015 dibuka seperti dijadualkan iaitu pada 4 Januari 2015 bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor dan pada 5 Januari 2015 bagi negeri-negeri lain.

Sehubungan itu, sukacita dimaklumkan bahawa KPM dengan ini bersetuju untuk menangguhkan permulaan sesi persekolahan di seluruh negara bagi tahun 2015 selama seminggu," kata Tan Sri Muhyiddin.

Saturday, December 20, 2014

Musang King Ke Pasaran China




Durian Musang King Malaysia, dengan rasanya yang sering digambarkan sebagai lemak manis dan beraroma, kini boleh didapati di gedung runcit World Good Farming Development Co Ltd di Beijing, China.

Syarikat tersebut, yang ketika ini mengendalikan tiga cawangan di Beijing, akan menjual lebih banyak durian beku Malaysia jika ia mendapat sambutan baik daripada pelanggan. Langkah itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai durian beku Malaysia, yang masih dianggap produk baharu bagi rakyat China. 


Thursday, December 11, 2014

Malaysia mara ke final Piala AFF Suzuki 2014


Skuad Bolasepak Malaysia mara ke final Piala AFF Suzuki 2014 selepas mengetepikan tuan rumah, Vietnam secara agreget 5-4 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium My Dinh, Hanoi sebentar tadi.
Skuad Harimau Malaya meraih kemenangan 4-2 sekaligus melakarkan rekod ketiga mara ke final kejohanan dwi tahunan ini selepas tahun 1996 dan 2010. 

Gol-gol Malaysia dijaringkan oleh Safiq Rahim seawal minit keempat permainan melalui sepakan penalti. Norshahrul Idlan Talaha menjaringkan gol kedua negara pada minit ke-16. Shukor Adan pada minit ke-44 permainan dan jaringan sendiri oleh pemain Vietnam Dinh Tien pada minit ke-29.


Menunggu Malaysia pada aksi final nanti ialah juara tiga kali,Thailand yang mengalahkan Filipina sebelum itu. 

Sunday, December 7, 2014

Pasukan skuasy wanita Malaysia Naib Juara Dunia


Pasukan skuasy wanita Malaysia mencipta sejarah apabila muncul Naib Juara Kejohanan Skuasy Berpasukan Wanita Dunia buat kali pertama. Malayasia kalah kepada England pada perlawanan akhir 1-2. Tahniah Datuk Nicol, Low Wee Wern, Delia Arnold dan Zulhijjah Azan.

Turun ke gelanggang di White Oaks Conference Resort & Spa, Niagara on the Lake, Ontario, Kanada menentang pasukan pilihan, England dilihat cabaran amat getir. Harapan Malaysia untuk membuat kejutan ke atas pihak lawan tidak kesampaian apabila Dellia Arnord tumpas kepada Sarah Jane Perry 8-11, 9-11 dan 7-11.


Kemudian Nicol memberi sedikit harapan apabila menang ke atas Laura Massaro 11-8,11-9 dan 11-3. Perseorangan ketiga Low Wee Wern kalah kepada Allison Waters 8-11, 7-11, 11-8 dan 4-11.

Saturday, November 15, 2014

Piala Suzuki AFF 2014




Skuad Harimau Malaya akan menghadapi Myanmar pada perlawanan sulung kumpulan B Piala Suzuki AFF 2014, pada ahad depan di Singapura. Persiapan Harimau Malaya dilihat hambar susulan kekalahan 0-3 di tangan Syria dalam perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, Rabu lalu.

BERIKUT merupakan kumpulan dan jadual bagi saingan Piala Suzuki AFF 2014:

Kumpulan A
Vietnam
Filipina
Indonesia
Loas
Kumpulan B
Singapura
Malaysia
Thailand
Mynmar


JADUAL 


22 November
Kumpulan A
Filipina lwn Loas - Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, Vietnam
Vietnam lwn Indonesia - Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, Vietnam

23 November
Kumpulan B
Malaysia lwn Myanmar - Stadium Nasional Singapura
Singapura lwn Thailand - Stadium Nasional Singapura
25 November
Kumpulan A
Filipina lwn Indonesia - Stadium Nasional  - My Dinh, Hanoi, Vietnam
Loas lwn Vietnam - Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, Vietnam

26 November
Kumpulan B
Malaysia lwn Thailand - Stadium Nasional Singapura
Mynmar lwn Singapura - Stadium Nasional Singapura
28 November
Kumpulan A
Indonesia lwn Loas - Stadium Hàng Đẫy, Hanoi, Vietnam
Vietnam lwn Filipina - Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, Vietnam

29 November
Kumpulan B
Thailand lwn Mynmar - Stadium Jalan Besar, Singapura
Singapura lwn Malaysia - Stadium Nasional Singapura

SEPARUH AKHIR 1
6 Disember
Naib juara kumpulan A lwn juara kumpulan B
7 Disember
Naib juara kumpulan B lwn juara kumpulan A

SEPARUH AKHIR 2
10 Disember
Juara kumpulan B lwn naib juara kumpulan A
11 Disember
Juara kumpulan A lwn naib juara kumpulan B

PERLAWANAN AKHIR
17 Disember 
Perlawanan Akhir 1
20 Disember 

Perlawanan Akhir 2

Saturday, November 8, 2014

Sampel B Datuk Lee Chong Wei Sah Positif

Hasil ujian Sampel B milik pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei disahkan positif dadah jenis 'dexamethasone'.

Perkara ini disahkan oleh Timbalan Presiden BAM, Datuk Norza Zakaria yang membuat pengumuman rasmi mengenai ujian doping Sampel B milik ikon badminton negara itu dalam sidang media di Ibu Pejabat BAM Bukit Kiara sebentar tadi.

Sebelum ini Chong Wei diiringi Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz dan Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kenny Goh ke Oslo, Norway untuk menyaksikan analisis ujian Sampel B di makmal Hospital Universiti Oslo pada 5 November lalu.

Chong Wei dilaporkan positif ujian doping bagi Sampel A iaitu ujian air kencing yang dilakukan secara rambang semasa Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, Ogos lalu.


Sunday, October 26, 2014

Percutian Ke Cameron Highlands

Cameron Highlands, inilah destinasi percutian kami pada kali ini. Kami membuat perancangan awal kerana kali ini bersamaan dengan cuti panjang Deepavali yang mana agak sibuk dan sesak dengan orang ramai yang juga ingin berkunjung ke kawasan tanah tinggi tersebut. 

Kami mengambil perjalanan ke Cameron Highlands melalui Simpang Pulai, Perak yang mengambil masa selama kira-kira 4 jam dari Kuala Lumpur. Walaupun agak jauh sedikit daripada melalui Tapah tetapi perjalanannya sangat selesa dan lancar.

Kami sampai di kawasan tanah tinggi Cameron kira-kira jam 11.30am setelah bertolak pada awal pagi. Kami mulai dapat merasai keindahan panorama yang cukup memukau di kawasan ini. Ladang sayuran yang menghijau dan indah di lereng-lereng bukit. 

Destinasi pertama kami ialah Cameron Bharat Plantation Tea House. Bagi pengunjung yang melalui Simpang Pulai, Cameron Bharat Plantantion Tea House adalah tempat yang sesuai untuk menikmati keindahan dan juga merasai kunjungan ke Ladang Teh. Di sini juga, pengunjung boleh membeli teh dan barangan lain. Tea House juga tersedia untuk merasai kesegaran teh.





Dalam perjalanan ke Brinchang, kami singgah sekejap di Al Mashoor Strawberries untuk melihat tanaman Strawberi. Di sini tiada aktiviti kutip sendiri strawberi disediakan tetapi pengunjungan boleh menikmati teh dan strawberi coklat di kafe yang disediakan.




Dari jauh jelas kelihatan Lavender Garden yang menjadi destinasi kami yang seterusnya. Bayaran masuk ke Lavender Garden ialah RM 5.00 seorang bagi Dewasa dan kanak-kanak RM3.00. Taman ini sangat cantik dan menarik dengan pelbagai jenis bunga yang ditanam. Lavender Garden sangat sesuai bagi pengemar bunga dan pasangan pengatin baru untuk mengabadikan foto di sini. Taman ini juga menyediakan aktiviti self pick strawberry dengan bayaran RM10.00 / 200gram untuk 2 orang. Untuk pengunjung yang gemarkan cederamata, banyak kedai Souvenir disediakan. 













Destinasi seterusnya ialah Rose Valley di Tringkap. Disini terdapat banyak pokok bunga ros dan pelbagai jenis bunga yang ditanam. Bayaran masuk sebanyak  RM4.00 bagi  dewasa dan kanak-kanak RM2.00. Rose Valley ini agak tersorok sedikit dibelakang kedai-kedai souvenir disepanjang jalan. Di sebelah Rose Valley terletaknya Cameron Tringkap Bee Farm, di mana terdapatnya Museum Lebah dan barangan berasaskan madu lebah. Kedai menjual barangan souvenir juga banyak terdapat di sini. 




Kemudian kami singgah di Royal Berry untuk merasai sendiri memetik buah strawberi segar. Bayaran yang dikenakan agak murah RM3.50 / 100gram. Selepas memetik strawberi, kami singgah sekejap di kafe yang disediakan untuk minum petang. Teh perlu dibacuh sendiri disamping itu terdapat juga makanan petang lain yang dijual.




Selepas itu, kami bertolak untuk mencari  tempat untuk makan petang. Jalan mulai sibuk dengan kenderaan yang banyak, pergerakan agak perlahan. Kami berhenti di Restoran Nur Kasih Raihan yang terletak berhampiran dengan Hotel Titiwangsa untuk menjamu selera. 

Kemudian kami sampai di Hotel De La Ferns untuk check in kira-kira pukul 3:30 petang untuk merehatkan badan setelah seharian menikmati keindahan Tanah Tinggi Cameron. Kami hanya berehat di hotel pada sebelah petang kerana hari hujan. 

Makan malam kami di Steamboat Snack Corner yang terletak berhampiran dengan hotel kami. Bayaran yang dikenakan bagi satu set steamboat ialah RM 23.90. Selepas menikmati makan malam, hujan mulai turun menyebabkan kami mengambil keputusan pulang ke Hotel.  




Selepas sarapan pagi di hotel, kami berkunjung ke Tanah Rata sekejap. Kemudian kami berkunjung ke Kea Farm untuk membeli barangan untuk dibawa pulang. Di sini terdapat pelbagai barangan dijual, souvenir pun ada dijual. Waktu yang sesuai untuk berkunjung ke sini adalah pada awal pagi berbanding waktu petang yang agak sibuk.

Kami check out dari hotel kira-kira pukul 12.30 petang untuk menuju ke Boh Tea Plantation Sungai Palas. Kami melalui jalan yang agak curam, sempit dan berliku untuk sampai ke sini. Apabila sampai, kami melihat ladang yang menghijau dan cukup indah yang diusahakan oleh Boh Tea Plantation. Pengunjung juga dapat menikmati suasana yang mempesonakan dan pandangan ladang teh sambil menikmati secawan teh dan kek dari Teh House.








Selepas berkunjung di Boh Tea Plantation, kami bertolak pulang ke Kuala Lumpur. Pengunjung yang ingin berkunjung ke Cameron Highlands dinasihatkan supaya keluar awal pagi untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas terutamanya semasa musim cuti.

Saturday, October 25, 2014

Pahang Menempah Slot Ke Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2014



Skuad Bolasepak Pahang berjaya menempah slot ke perlawanan akhir Piala Malaysia di Bukit Jalil pada November ini selepas menumpaskan Kedah dengan agregat 6-3 pada perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi.

Skuad Tok Gajah berpesta gol di halaman sendiri apabila berjaya membelasah Kedah dengan keputusan 5-0. Pada babak pertama perlawanan, tuan rumah selaku juara bertahan Piala Malaysia dilihat berusaha bermati-matian mencari gol awal untuk memberi semangat ekoran ketinggalan 1-3 dalam perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Darul Aman, Alor Setar tempoh hari.

Gol-gol Pahang dijaringkan oleh Matias Conti pada minit ke-4, 29 dan 36, R.Gopinathan pada minit ke-25 dan Nwakaeme minit ke-73.

Lawan Pahang di Final nanti adalah pemenang perlawanan diantara JDT dan Felda United yang akan membuat perhitungan di Stadium Larkin, Johor Baharu pada malam ini.

Saturday, September 27, 2014

Pertandingan Memancing Lagi















Seperti tahun-tahun sebelumnya, Kelab Sukan Dan Rekreasi (KSR) SESC sekali lagi menganjurkan pertandingan Memancing ikan air masin bagi mengisi aktiviti ahlinya pada hari ini.

Pertandingan tahunan ini dengan kerjasama pihak pengurusan syarikat mendapat sambutan yang menggalakkan dan berjaya menarik seramai 35 peserta telah diadakan sekali lagi di Kolam Memancing Air Masin Kota Kemuning, Shah Alam.

Acara yang berlansung selama 4 jam, bermula jam 9.00 pagi dan berakhir jam 1.00 petang, telah memberi kepuasan kepada setiap peserta terutamanya pemenang dengan hasil tangkapan yang memuaskan. 





Pemenang pertandingan kali ini ialah Wan Anuar yang berjaya menaikkan ikan siakap seberat 1.80kg.Tempat kedua dimenangi oleh Noorpesail yang berjaya menaikkan ikan siakap seberat 1.75kg. Ahmad Amiruddin pula mendapat tempat ketiga setelah bejaya menaikkan juga ikan siakap seberat 1.55kg.





Bagi Pertandingan kali ini,hadiah wang tunai disediakan kepada pemenang yang meraih tempat pertama hingga ketiga dan hamper kepada pemenang yang berjaya mendapat tempat ke-4 hingga ke-10 yang berjaya menaikkan ikan terberat. Tahniah kepada semua pemenang dan pihak KSR yang menjayakan pertandingan ini.







Thursday, September 25, 2014

Proton Iriz Dilancarkan




Selepas Perodua, Proton hari ini melancarkan model terbarunya, Iriz yang telah dilancarkan oleh Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad di Proton City, Tanjung Malim.

Berharga bermula dari RM42,438 hingga RM62,888, dengan tujuh warna pilihan dan dalam tiga varian iaitu Standard, Eksekutif dan Premium dengan injin 1.3 dan 1.6 liter, Proton Iriz memenuhi standard dan pasaran global.

Turut hadir semasa pelancaran ialah Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Hamim Samuri.

Tuesday, September 16, 2014

Axia Model Baru Perodua



Perusahaan Otomobil Kedua Sdn.Bhd. (Perodua) telah melancarkan model baru Axia, model kereta ke-10 keluarannya. Pelancaran Axia telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi di Kuala Lumpur.

Axia merupakan model pertama dikeluarkan di kilang cekap tenaga baharu Perodua di Rawang dengan sokongan syarikat pengeluar kereta Jepun, Daihatsu Motor Company.

Kereta baru ini didatangkan dengan empat model iaitu Standard E, Standard G, Special Edition (SE) dan Advance, boleh didapati dengan lapan warna, Ivory White, Glittering Silver, Ebony Black, Moonlight Blue, Cherry Blossom, Lemon Grass Green, Sunflower Yellow dan Lava Red.

Dengan harga serendah RM24,600 hingga RM42,530, Axia dipacu oleh enjin 1.0 liter mampu memberikan penjimatan petrol sehingga 21.6 kilometer bagi setiap liter.

Sejak tempahan dibuka pada 15 ogos lepas, sebanyak 13,500 unit Axia telah ditempah dengan tempahan harian antara 500 dan 600 unit. Perodua menjangkakan untuk mencapai sasaran jualan 30,000 unit sehingga akhir tahun ini.

Sunday, August 10, 2014

Super Spontan Musim Ketiga



Seramai 14 orang pelawak popular tanah air bakal bersaing dalam program realiti popular Super Spontan untuk musim ketiga yang bermula pada 22 Ogos, pukul 10 malam di Saluran 132 Astro Warna.

Program ini masih mengekalkan format yang sama seperti musim sebelum ini iaitu mereka akan dibahagikan kepada dua kumpulan.

Dua kumpulan tersebut ialah Mawas Berduri yang diuruskan oleh Rashid Salleh dan disertai oleh Johan, Syuk, Jihan, Rahim, Fad, Didie Alias dan Yus.

Manakala kumpulan Biawak Laser akan diuruskan oleh Reza dan dibarisi oleh Shuib, Taukeh, Shahrol, Micheal Ang, Achey, Sharifah Sakinah dan Abam.


Program ini akan menampilkan Adlin Aman Ramli dan Afdlin Shauki sebagai pengacara, manakala Amir Raja Lawak akan muncul bagi menghangatkan suasana.


Berdasarkan persembahan mingguan, nasib peserta akan ditentukan oleh undian Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) penonton.Kumpulan yang mendapat markah terendah perlu menyingkirkan salah seorang peserta kumpulan mereka.Juara Super Spontan akan membawa pulang wang tunai RM100,000.

Untuk rekod, Juara Super Sponton musim lepas dimenangi oleh Jep Sepahtu.

Friday, July 11, 2014

Rebat Tol Pengguna Kerap 1Malaysia Tamat



Rebat Tol Pengguna Kerap 1Malaysia akan ditamatkan kerajaan mulai Selasa ini, menurut Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Penebusan rebat boleh dibuat bagi pengguna yang layak dalam tempoh enam bulan sehingga 14 Januari tahun depan berdasarkan syarat yang ditetapkan. Tuntutan rebat boleh dibuat di semua kaunter Touch'n Go (TnG) di lebuh raya, hub TnG dan kaunter TnG Spot di stesen minyak terpilih.

Program rebat itu merupakan inisiatif yang diperkenalkan kerajaan pada 1 September 2009 yang melayakkan pengguna mendapat rebat tol sebanyak 20 peratus apabila mencatat penggunaan minimum 80 kali sebulan.

Bagaimanapun penamatan program rebat itu tidak melibatkan Frequent Travellers Program kendalian Lebuhraya Damansara-Puchong dan Plusmiles kendalian PLUS Expressway Berhad, menurut LLM.

Plusmiles kendalian Expressway Berhad melibatkan Lebuhraya Utara-Selatan (kecuali Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar dan Bukit Kayu Hitam), Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite), Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) dan Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura, kecuali Plaza Tol Anjung Kupang.

Sunday, July 6, 2014

Imbuhan Raya Peneroka Felda Tahun Ini

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak hari ini mengumumkan pembayaran dividen akhir Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) sebanyak RM72.9 juta kepada 112,635 peneroka Felda.
Beliau mengumumkan demikian di Majlis Berbuka Puasa Sempena Ihya Rahmat Ramadan Warga Felda Peringkat Kebangsaan 2014, di Kuala Terengganu.
Sehubungan itu, setiap peneroka bakal menerima imbuhan sebanyak RM647.78 seorang, membabitkan jumlah 10 sen sesaham di mana ia akan dibayar menerusi Tabung Amanah pada 11 Julai ini.
Di samping itu, Najib juga mengumumkan sebanyak RM30.5 juta akan diagihkan kepada peneroka Felda sebagai duit raya.
Ia bagi meringankan lagi beban kewangan peneroka dan keluarga untuk menyambut Aidilfitri akhir bulan ini.

Sunday, June 29, 2014

Brazil Menempah Tiket ke Aksi Suku Akhir Piala Dunia 2014



Brazil, tuan rumah piala Dunia kali ini menjadi pasukan pertama menempah tiket ke aksi suku akhir Piala Dunia selepas menewaskan Chile 3-2 melalui penentuan sepakan penalti pada perlawanan awal pagi tadi.

Aksi penuh dramatik kedua-dua pasukan dari Amerika Latin pada pusingan kalah mati itu terpaksa diheret ke masa tambahan selepas terikat 1-1 pada masa 90 minit perlawanan sebenar.

Pemain Pertahanan David Luiz menjaringkan gol tunggal Brazil minit ke-18, namun Penyerang Chile, Alexis Sanchez menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-14.

Babak kedua menyaksikan Hulk berjaya menambah jaringan kedua Brazil, namun tidak dikira selepas pengadil Howard Webb memutuskan bola terkena bahagian lengan pemain itu.

Kedua-dua pasukan gagal mencari gol kemenangan dalam tempoh masa tambahan sehingga membawa ke sepakan penentuan penalti.

Tiga sepakan penalti Brazil dilakukan David Luiz, Marcelo dan Neymar. 

Manakala dua gol penalti Chile oleh Aranguiz dan M.Diaz.

Brazil bakal berdepan dengan Colombia yang menewaskan Uruguay 2-0 yang turun tanpa penyerang Luis Suarez diperingkat suku akhir nanti.

Tuesday, June 10, 2014

Festival Bunga & Taman Putrajaya 2014



Seperti tahun-tahun lepas, FLORIA Putrajaya – Festival bunga dan taman yang dinanti-nantikan di Malaysia akan kembali menemui anda pada tahun ini dengan menghidangkan pelbagai jenis flora yang berwarna-warni dan menarik di luar imaginasi anda.

Bertemakan Pesona Warna, FLORIA Putrajaya kali ini menjanjikan pameran bunga-bungaan dari pelbagai spesis yang disusun atur di dalam taman-taman yang direka khas. Bunga Begonia atau asam batu yang berasal dari iklim lembap subtropika dan tropika telah dipilih sebagai bunga tema Festival Bunga dan Taman tahun ini.

Memandangkan ini adalah kali ketujuh acara ini diadakan, Perbadanan Putrajaya (PPj) selaku pihak penganjur sedang membuat persiapan untuk mempersembahkan satu pameran yang lebih besar dan lebih baik buat pengunjung di tapak baru dan kekal di Pesisiran Tasik, Presint 4 ditambah pula dengan lampu berkilauan pada waktu malam. 

FLORIA Putrajaya 2014 dibuka kepada lawatan umum mulai 14 hingga 22 Jun 2014 dari 9:00 pagi - 10:30 malam (Isnin hingga Khamis) dan dari pukul 9:00 pagi hingga 12:00 tengah malam (Jumaat hingga Ahad). 

Sunday, May 25, 2014

Real Madrid Muncul Juara Liga Juara-Juara Eropah




Kelab Sepanyol, Real Madrid berjaya muncul sebagai juara Liga Juara-Juara Eropah buat kali ke-10 apabila tewaskan kelab senegara, Atletico Madrid 4-1 pada aksi final awal pagi tadi.

Dalam perlawanan penuh dramatik itu, Real Madrid hampir tewas apabila Atletico Madrid terlebih dahulu didepan menerusi tandukan Diego Godin pada minit ke-35.

Bagaimanapun Real Madrid bangkit lewat menyamakan kedudukan nenerusi jaringan Sergio Ramos pada minit ke-93 untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Perlawanan yang disambung pada masa tambahan tidak dipersiakan Real Madrid apabila pemainnya Gareth Bale meletakkan Real didepan pada minit ke-110 dan diikuti jaringan Marcelo pada minit ke-118. Cristiano Ronaldo melengkapkan malam gemilang anak didik Carlo Ancelotti itu dengan jaringan pada minit ke-120 untuk keputusan 4-1 berpihak kepada Real Madrid.

Friday, May 23, 2014

Malaysia Layak ke Akhir Piala Thomas



Pasukan Badminton Malaysia layak ke akhir Piala Thomas selepas menewskan Indonesia 3-0 pada aksi separuh akhir di Stadium Siri Fort, New Delhi sebentar tadi.

Lawan Malaysia pada aksi final adalah pasukan Jepun yang mara selepas mengetepikan juara bertahan China juga 3-0 pada satu lagi aksi separuh akhir.

Pemain perseorangan utama negara, Datuk Lee Chong Wei berjaya meraih mata pertama untuk Malaysia dengan menewaskan pemain Indonesia Tommy Sugiarto 21-19 dan 21-13.

Sementara itu, pada aksi kedua, pasangan beregu negara Tan Boon Heong/Hoon Thien How meraih kemenangan apabila menewaskan pasangan Mohammad Ahsan/ Hendra Setiawan selepas diheret bermain hingga ke rubber-set 21-19, 8-21 dan 23-21.

Pemain perseorangan kedua negara, Chong Wei Feng mengutip mata kemenangan untuk Malaysia selepas bermain dengan cermelang sekali ketika bertemu D.H.Rumbaka dengan mata 21-10 dan 21-17.

Kali terakhir Malaysia layak ke final adalah pada tahun 2002 di Guangzhou, China tapi tewas kepada Indonesia 2-3.

Wednesday, May 21, 2014

Senarai Penuh Hoki Piala Dunia 2014



Ketua jurulatih skuad negara Muhammad Dharmaraj Abdullah menyenaraikan 18 pemain yang terdiri daripada pemain berpengalaman dan pemain muda bagi menggalas cabaran negara dalam Kejohanan Hoki Piala Dunia 2014 di The Hague, Belanda akhir bulan ini.

Bekas kapten skuad kebangsaan, Mohd Shahrun Nabil Abdullah adalah antara lima pemain yang dipanggil semula termasuk penjaga gol berpengalaman, Roslan Jamaluddin, pemain pertahanan, Muhammad Razie Abdul Rahim dan dua penyerang, Hafifi Hafiz Hanafi serta Muhamad Ramadhan Rosli.

Dalam kejohanan dari 31 Mei hingga 15 Jun itu, Malaysia berdepan laluan sukar apabila diundi dalam kumpulan A bersama juara bertahan Australia, England, Belgium, India dan Sepanyol. 

Sementara tuan rumah, Belanda berada dalam kumpulan B bersama Jerman, New Zealand, Korea Selatan, Argentina dan Afrika Selatan.

Skuad negara akan memulakan saingan menentang pasukan Hoki Australia pada 31 Mei diikuti Belgium (2 Jun), England (5 Jun), India (7 Jun) sebelum melengkapkan perlawanan peringkat kumpulan dengan menentang Sepanyol pada 9 Jun ini.

Senarai Penuh18 pemain ke Piala Dunia 2014:

Penjaga Gol: S. Kumar, Roslan Jamaludin.

Pertahanan: Kevin Frederick Lim, Faizal Saari, Mohamad Shukri Abdul Mutalib, Azlan Misron (Kapten), Faiz Helmi Jali, Muhammad Razie Abdul Rahim

Tengah: Muhammad Marhan Mohd Jalil, Mohd Fitri Saari, Nabil Fiqri Mohd Noor, Mohd Shahrun Nabil Abdullah,

Penyerang: Muhammad Firhan Ashari, Muhammad Shahril Saabah, Tengku Ahmad Tajudin Abdul Jalil , Muhamad Ramadhan Rosli, Ismail Abu, Hafifi Hafiz Hanafi


Kali terakhir Malaysia menyertai kejohanan Piala Dunia adalah pada 2002 semasa menjadi tuan rumah kejohanan itu di Kuala Lumpur dan sekadar menamatkan saingan di tempat kelapan.

Monday, May 12, 2014

Datuk Ahmad Razif Abd Rahman Menteri Besar Terengganu Yang Baru


Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu menggantikan Datuk Seri Ahmad Said meletak jawatan pada petang tadi.

Majlis angkat sumpah berlangsung pada pukul 9.25 malam ini di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu.

Berikutan itu, perkembangan terbabit mengesahkan spekulasi bahawa Ahmad Said akan digantikan berikutan perjanjian dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa beliau akan kekal hanya selama setahun selepas BN hampir kecundang di negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 tahun lalu.

BN menang 17 kerusi DUN berbanding Pakatan Rakyat 15 dan menang separuh daripada kerusi Parlimen di negeri itu.


Ahmad Said, 57 pertama kali dilantik sebagai menteri besar pada 23 Mac 2008 dan dilantik semula memegang jawatan itu pada 9 Mei tahun lepas.

Saturday, May 3, 2014

Hari Terbuka & KLIA2


Kesempatan berkunjung ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (Klia2) pada Hari terbuka tempoh hari sangat menyeronokkan seolah-olah berada di sebuah komplek lapangan terbang mewah bukannya murah. Kemudahan yang disediakan amat menarik dan selesa sekali, jauh sekali dengan apa yang terdapat dan disediakan di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT).



Menjadi sebahagian daripada 78,000 orang pengunjung pada tarikh 27 April itu merupakan saat paling indah dan tak dapat dilupakan. Pada hari tersebut pengunjung diberi peluang untuk merasai sendiri pengalaman sebagai penumpang sebenar untuk berlepas dan ketibaan domestik dan antarabangsa. Pengunjung diberi pas menaiki pesawat olok-olak sebagai cendermata. Pengunjung dibawa melawat landasan dengan menaiki bas yang disediakan.

Pengunjung juga dibenarkan melawat dan mengalami KLIA2 Skybridge, yang pertama seumpamanya di Asia dan ketiga di dunia.



Klia2 seluas 257,000 meter pergi yang dibina dengan kos kira-kira RM4 bilion ini mempunyai 76 petak tempat letak pesawat dan mampu menampung penumpang sehingga 45 juta penumpang setahun.

Semalam 2 Mei secara rasmi KLIA2 dibuka sepenuhnya untuk operasi kepada syarikat penerbangan untuk berlepas dan mendarat.



Saturday, April 19, 2014

Enam peserta program Skool of Lawak Ke Final

Enam peserta program Skool of Lawak  iaitu Azmi, Fiza, Mael, Zam, Yus dan One berjaya mara ke peringkat akhir dan sekali gus mengalahkan tiga peserta lain iaitu Kecik, Ain dan Chot pada peringkat separuh yang diadakan secara langsung dari Studio Satu, Astro, Bukit Jalil pada malam tadi.



Skool of Lawak dihoskan oleh Jep  dan Johan, disiarkan setiap hari Jumaat bermula pukul 10 malam, secara langsung menerusi saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Markah peserta diadili 70 peratus daripada panel penilai  Prof Razak Mohaideen, Mamat Khalid termasuklah Rosyam manakala 30 peratus daripada undian penonton.
Sembilan peserta tersebut beraksi di pentas separuh akhir selepas tujuh minggu bersaing dengan 33 peserta lain untuk merebut tempat ke gelanggang akhir program realiti komediSkool of Lawak.
Pada peringkat separuh akhir itu menyaksikan para peserta  diuji dengan tema yang lebih mencabar iaitu Stand Up dan Silent Comedy.

Pengumuman pemenang dilakukan oleh pengacara program tersebut iaitu Jep (Sepahtu) dan Johan (Raja Lawak).






Sunday, April 6, 2014

KLIA2 Akan Mula Operasi Pada 2 Mei

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2 yang baru akan dibuka untuk tinjauan umum pada 27 April ini. Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menjangkakan antara 10,000 hingga 20,000 orang akan datang mengunjungi terminal penerbangan tambang rendah baharu ini nanti.

Menurut MAHB, jumlah pengunjung yang disasarkan itu berasaskan kepada bilangan orang yang mengunjungi pembukaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 1998.

Pada 27 April MAHB akan membenarkan orang ramai meninjau di sekeliling terminal lapangan terbang itu untuk melihat dengan sendiri proses perlepasan dan ketibaan penerbangan domestik dan antarabangsa di lapangan terbang baharu itu.

MAHB  akan membawa pengunjung ke apron lapangan terbang, tempat pesawat akan diletakkan, tiba, berlepas dan mengisi minyak, bagi menambahkan lagi pengalaman mereka di kemudahan baharu itu.

Sementara itu 70 peratus kedai di kawasan membeli belah dalam lapangan terbang, Getaway@KLIA2, akan membuka perniagaan mereka pada 27 April ini.

Daripada 245 kedai, 70 peratus adalah kedai makan dan minuman, dan mereka akan mula beroperasi pada hari sama. Selebihnya akan dibuka pada 2 Mei.

Dengan pembukaan KLIA2, Terminal penerbangan tambang rendah (LCCT) akan ditutup pada 9 Mei. Berharga RM4 bilion, KLIA2 mampu mengendalikan kira-kira 45 juta penumpang setahun.

Tuesday, April 1, 2014

Catuan Air Diteruskan

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) akan meneruskan pelan catuan air yang diperkenalkan sebelum ini dengan penambahan satu lagi pelan (Peringkat Keempat) yang akan berkuatkuasa 4 April ini. Pelan catuan peringkat keempat ini akan melibatkan 6.7 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya secara keseluruhan.
Sebanyak sembilan wilayah yang terlibat dan pelan peringkat keempat melibatkan tambahan 620,237 pintu rumah menjadikan jumlah besar 1,340,231 pintu rumah atau 6.7 juta orang,
Sembilan wilayah yang terlibat ialah Gombak, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Kuala Lumpur,Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang.
Pelan catuan peringkat keempat akan menerima kaedah pengagihan yang sama dengan pelan sebelum ini iaitu menerima bekalan air selama dua hari dan diikuti dengan dua hari catuan. Pelan ini terpaksa diperkenalkan disebabkan paras air di empangan-empangan masih rendah dan semakin merosot.

 Walaupun terdapat hujan di Lembah Klang sejak 16 Mac lalu, kadar hujan di kawasan-kawasan tadahan empangan adalah rendah.

Thursday, March 27, 2014

Handphone Galaxy S5


Samsung menampilkan handphone generasi kelima Samsung Galaxy S iaitu S5 secara rasmi di Malaysia pada harga RM2,399 yang mula dijual 11 April nanti.Handphone Galaxy S5 pastinya dapat memenuhi kehendak asas pengguna yang mahukan kamera berkualiti tinggi serta aplikasi mudah untuk membuat suntingan serta memindah naik pada resolusi kamera 16 megapiksel. 

Galaxy S5 turut menawarkan sistem fokus automatik terpantas di dunia sehingga 0.3 saat selain menaik taraf kualiti High Dynamic Range (HDR) untuk menghasilkan pencahayaan serta warna yang lebih terang.

Dengan skrin lebih besar iaitu 5.1 inci Full HD Super AMOLED pastinya S5 menjanjikan kepuasan pengguna ditambah dengan pemproses 2.5 GHz Quadcore dan generasi kelima Wi-Fi 802.11ac serta 2X2 MIMO yang menyokong frekuensi LTE kategori 4.


Dari segi fizikal, S5 sama seperti model terdahulu dengan bahan plastik premium namun dengan rekaan yang lebih moden seperti liang kecil untuk tampak lebih elegan dan mudah dipegang.

Sunday, March 23, 2014

Siapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang Yang Baharu

Hari ini seramai 38,055 pengundi berdaftar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang akan menunaikan tanggungjawab masing-masing sebagai pemilih bagi memilih wakil rakyat yang baharu.


PRK Kajang diadakan selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang, Lee Chin Cheh dari PKR meletakkan jawatan tanpa sebab pada 27 Januari lepas. Pada PRU13 lalu, Lee Chin Cheh menang dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru dengan BN, Berjasa dan tiga calon bebas.

Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun sementara Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bertanding mewakili Pakatan Rakyat.

Selepas 12 hari tempoh berkempen yang tamat pada tengah malam tadi, nasib kedua-dua calon wanita yang bertanding dalam saingan satu lawan satu tersebut kini berada di tangan pengundi dun tersebut.

Sebanyak 15 pusat mengundi yang dibuka seawal pukul 8 pagi disediakan bagi proses pengundian biasa PRK Kajang.
 Proses pengundian akan ditutup pada pukul 5 petang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan keputusan PRK Kajang akan mula diketahui seawal pukul 9 malam ini.

BLOG INFO

Blogged.my My Ping in TotalPing.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...