Sunday, April 17, 2011

Lee Chong Wei Dan Misbun Berpisah


Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bakal memberi tugas baru kepada Datuk Misbun Sidek untuk mengendalikan skuad pelapis negara.
Setiausaha Kehormat BAM, Ng Chin Chai berkata kemungkinan besar Misbun tidak lagi melatih pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei sebaliknya tugas tersebut akan diserahkan kepada Rashid Sidek dan Tey Seu Bock.
"Saya yakin bahawa Misbun dapat menerima keputusan tersebut kerana beliau (Misbun) kelihatan tenang ketika dimaklumkan mengenai perkara tersebut.
"Bagaimanapun keputusan rasmi mengenai kontrak Misbun hanya akan diumumkan pada Mesyuarat Exco BAM pada 28 April nanti," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Kejurulatihan dan Latihan Badminton di pejabat BAM di Stadium Juara Bukit Kiara.
Ng berkata ramai bertanyakan siapa yang akan menggantikan Chong Wei satu hari nanti, maka BAM telah memberi cabaran buat Misbun untuk membentuk satu kumpulan pemain yang berkaliber yang diharapkan akan menggantikan Chong Wei satu hari nanti sekiranya beliau bersara selepas Sukan Olimpik London 2012 nanti.
"Maka oleh sebab itulah kita menawarkan kontrak sedemikian kepada beliau (Misbun) dalam menjadi jurulatih kepada kumpulan pemain yang mampu diketengahkan ke dalam skuad elit suatu hari nanti," katanya.
Beliau berkata BAM melihat kemampuan Misbun yang dilihat serasi mengajar pemain yang baru untuk ditawarkan kontrak selama dua tahun.
"Kita telah berbincang dengan ahli gabungan dan beberapa persatuan lain termasuk Majlis Sukan Negara (MSN), pemain dan penaja untuk kontrak Misbun yang akan disambung 2 tahun ini," katanya.
Selepas tiga bulan berdiam diri, pada 1 April lepas Misbun bersetuju kembali ke pangkuan BAM dan bersetuju untuk menarik balik surat peletakan jawatannya yang bertarikh 31 Dis lepas.
Isu peletakan jawatan Misbun yang juga jurulatih kepada Chong Wei mencetuskan kontroversi selepas beliau mengambil sikap berdiam diri sejak menyerahkan surat peletakan jawatannya.
Datuk Mohmed Misbun bin Haji Sidek 51 tahun, lahir 17 Februari 1960 di Kancung Darat , Banting, Selangor, seorang bekas pemain badminton kebangsaan. Beliau merupakan anak sulung daripada lima adik beradiknya.
Beliau dan kesemua adik beradiknya pernah terlibat secara aktif di pentas badminton antarabangsa.
Misbun merangkul pingat emas bagi acara perseorangan lelaki badminton pada Sukan SEA 1981 di Manila,Filipina.
Pada 28 Ogos 2008, kerajaan negeri Melaka menganugerahi Misbun Sidek dengan darjah kebesaran negeri iaitu Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran ‘Datuk’. Yang di-Pertua Negeri Tun Mohd Khalil Yaakob menyampaikan darjah kebesaran itu kepada Jurulatih badminton kebangsaan itu di Istana Melaka.

No comments:

Post a Comment

BLOG INFO

Blogged.my My Ping in TotalPing.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...