Monday, February 27, 2012

Menjaga Perasaan Seseorang

Assalamualaikum Semua....Untuk renungan bersama

Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya: Jika kamu bertiga maka janganlah dua daripada kamu bercakap-cakap meninggalkan yang ketiga kerana perbuatan begini akan mendukacitakannya.

Riwayat: 
 (al-Bukhari dan Muslim)

Huraian Hadith: 
1. Apabila terdapat tiga orang berada dalam satu majlis maka tidak harus dua daripada mereka berbual dan meninggalkan yang ketiga. Perbuatan ini boleh menyebabkan orang yang ketiga berasa dukacita, gelisah dan menimbulkan buruk sangka kerana dirinya tidak dipedulikan.

2. Komunikasi yang berkesan adalah komunikasi yang menepati apa yang dimaksudkan bukan sesuatu yang samar-samar sehingga timbul berbagai fitnah dan cerita bohong yang diada-adakan hingga mengakibatkan perpecahan dan sebagainya.

3. Setiap manusia hendaklah memahami disiplin-disiplin dalam bergaul dan berinteraksi supaya tidak berlaku perkelahian dan pergaduhan.

4. Seorang muslim itu wajib menjauhi sebarang percakapan yang mengandungi unsur-unsur umpat keji, kata mengata dan sebagainya dan tidak menyibukkan diri dengan percakapan yang tidak berfaedah.

Sunday, February 26, 2012

Cuti Umum Sempena Pertabalan Yang di-Pertuan Agong


Pada 11 April depan diisytiharkan sebagai hari kelepasan am tambahan bagi seluruh Negara sempena Hari pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.
Pengisytiharan hari kelepasan am itu dibuat berdasarkan Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan Am 1951 (Akta 369) bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Bagi Sabah dan Sarawak, tindakan diambil oleh kerajaan-kerajaan negeri tersebut mengikut undang-undang negeri masing-masing.

Saturday, February 25, 2012

Ana Raffali Sah Bernikah Dengan Pasangannya


Selepas pernikahan Yusry dan Lisa Surihani, kini tiba giliran seorang lagi selebriti tanahair iaitu penyanyi yang popular dengan lagu Kalau Berpacaran, Ana Nur Hidayah Mohd Raffali atau Ana Raffali, 26 melangsungkan pernikahan dengan pasangnya Ahmad Aznaim Abdullah atau Naim, 30.
Mereka dinikahkan tepat pada jam 11.55 pagi tadi, pada majlis yang berlangsung di  Masjid Al Hidayah, Taman Melawati, Kuala Lumpur. Pasangan Ana dan Ahmad Aznaim dinikahkan oleh bapa Ana sendiri, Mohd Raffali Mohd Nor dengan mas kahwin RM11,412.
Pada majlis itu, Ana Raffali  turut menerima tujuh dulang hantaran daripada pihak lelaki. Pihak perempuan pula membalas dengan sembilan dulang.

Thursday, February 23, 2012

Yusry Dan Lisa Surihani Sah Sebagai Pasangan Suami-Isteri


Pengarah dan penyanyi, Yusry Abdul Halim, sah bergelar suami kepada pelakon popular, Lisa Surihani dengan sekali lafaz di majlis pernikahan mereka yang diadakan di Hotel Marriot, Putrajaya  selepas solat Isyak kira-kira pukul 9 malam sebentar tadi.
Pasangan tersebut diijabkabulkan sendiri oleh abang sulung Lisa, Mohamed Azan Mohamed dengan disaksikan oleh Pegawai Tadbir Agama Daerah Sepang, Halim Mat Isa.
Acara dimulakan dengan upacara berbalas pantun mengikut adat tradisi orang Melayu lama oleh kedua-dua belah pihak. Pengantin perempuan menerima seutas rantai platinum sebagai mas kahwin.
Dalam pada itu, Lisa Surihani menerima tujuh dulang hantaran daripada pihak lelaki dan dibalas sembilan dulang.
Majlis pernikahan kedua-dua mempelai dihadiri kira-kira 250 orang jemputan yang terdiri daripada kaum keluarga rapat pengantin dan wakil media.
Majlis resepsi untuk pasangan ini akan diadakan di Pusat Konyensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada hari Ahad ini.

Monday, February 20, 2012

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah Mendapat Pengiktirafan dari Malaysia Book of Records






Tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah kerana telah mencipta sejarah sebagai sultan pertama dilantik Yang di-Pertuan Agong buat kali kedua dan berkenan menerima sijil pengiktirafan dari Malaysia Book of Records.
Kali pertama Tuanku Abdul Halim dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ialah pada 21 Januari 1970 hingga 20 September 1975 sebagai Yang di-Pertuan Agong yang ke-5 semasa berusia 43 tahun, sebelum sekali lagi dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 mulai 13 Disember 2011 yang lalu menggantikan Sultan Mizan Zainal Abidin.
Baginda menerima buku dan sijil pengiktirafan tersebut daripada Datuk Danny Ooi, Pengarah Urusan The Malaysia Book of Records di Istana Negara. Turut berangkat mengiringi baginda pada majlis itu ialah Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.

Saturday, February 18, 2012

Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012


Dua pasukan berstatus Pro-Tour, tujuh pasukan profesional, sepuluh pasukan benua dan tiga pasukan kebangsaan telah mengesahkan penyertaan pada perlumbaan jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL) edisi ke-17, bermula dari 24 Februari hingga 4 Mac 2012.
Dua pasukan Pro-Tour ialah Astana Pro Team dari Kazakhstan dan Garmin Barracuda dari Amerika Syarikat manakala tiga pasukan kebangsaan ialah Malaysia, New Zealand dan Indonesia.
Mulai tahun ini, juara keseluruhan bukan sahaja dinobatkan dengan tradisi jersi kuning tetapi juga dapat merangkul Piala Cabaran LTdL. Piala ini akan dijulang oleh juara keseluruhan LTdL pada hari terakhir perlumbaan.
Reka bentuk piala adalah berupa Tugu Lang di Dataran Helang, sebuah mercu tanda Pulau Langkawi.
Ia juga sebagai penghormatan kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang membuat sumbangan besar kepada perkembangan perlumbaan sukan berbasikal itu.
LTdL 2012, yang memiliki status 2HC (Hors Classe), dianjurkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).
Perlumbaan 10 hari itu akan bermula padda 24 Feb ini dengan acara individu ujian masa sejauh 20.3km mengelilingi Putrajaya diikuti peringkat kedua dari Putrajaya ke Melaka sejauh 151km.
Peringkat seterusnya ialah dari Ayer Keroh ke Parit Sulong (187.6km), Batu Pahat- Muar (169.4km), Ayer Keroh-Pandan Indah (190km), Proton Shah Alam-Genting Highlands (108km), Bentong-Kuantan (205.8km), Pekan-Chukai (100.8km),
Kemasik-Kuala Terengganu (165.7km) dan Tasik Kenyir-Kuala Terengganu (114.8km) dengan jumlah keseluruhannya sejauh 1415.5km.
Senarai Pasukan

Pro Tour
Astana Pro Team (AST) -KAZ
Garmin Barracuda (GRM) –USA
Professional
Androni Giocattoli (AND) –ITA
Champion System (CSS) -HKG
Colnago CSF Inox (COG) -IRL
Farnese Vini  (FAR) –GBR

Rusvelo (RVL) -RUS

Team Europcar (EUC) –FRA

United Healthcare (UHC) -USA

Benua

Aisan Racing Team (AIS) –JPN

Azad University Cross Team (AZC) –IRI

Drapac Cycling (DPC) –AUS

MAX Success Sports (MSS) –CHN

MTN Ohubeka (MTD) –RSA

OCBC Singapore (TSI) –SIN

RTS Racing Team (RTS) –TPE

Seoul Cycling (SCT) –KOR

Tabriz Petrochemical Team (TPT) –IRI

Terengganu Cycling Team (TSG) –MAS/TER

National

Malaysia Nasional Team (MAS)

Indonesia Nasional Team (INA)

New Zealand Nasional Team (NZL)

Tuesday, February 14, 2012

Jualan Besar-Besaran BIG SALE AirAsia


AirAsia, Syarikat penerbangan tambang murah kini sedang menganjurkan Jualan Besar-Besaran di kesemua laluan AirAsia dan AirAsia X dengan bayaran tambang keseluruhan sehala serendah RM19.
Promosi itu diadakan dari 15 Februari hingga 19 Februari 2012 dan tempoh perjalanan ialah dari 11 September, 2012 hingga 31 Januari, 2013.
Tambang meliputi kesemua penerbangan sehala dari RM19 ke destinasi domestik seperti Pulau Pinang, Langkawi, Alor Setar dan Kota Bahru manakala penerbangan ke destinasi di Sabah dan Sarawak termasuk Kuching, Bintulu, Sibu dan Miri sahaja bernilai RM29 sehala.
Penumpang juga boleh terbang ke destinasi popular seperti Bali, Phuket, Singapura dan Bandaraya Ho Chi Minh pada harga dari RM49 dan ke tempat lain seperti Hanoi, Da Nang dan Siem Reap dari RM89.
Sebagai tambahan, tambang ke destinasi termasuk Guangzhou, Hong Kong, Macau, Guilin, Shenzhen dan Colombo juga ditetapkan dari RM139 sehala.
Sementara itu, AirAsia X turut menawarkan tambang serendah RM169 sehala ke Osaka, Tokyo, Hangzhou, Tianjin dan Chengdu dan RM199 sehala ke Seoul, Taipei dan beberapa destinasi di Australia.
Bagi melengkapi tempahan penerbangan, AirAsiaGo akan turut menawarkan pakej hotel dari serendah RM89.
Untuk maklumat selanjutnya boleh layari laman web AirAsia.com

Thursday, February 9, 2012

Hamza Kashgari Ditahan Di Malaysia








Inilah wajah Hamza Kashgari, seorang kolumnis akhbar Arab Saudi yang dikehendaki oleh kerajaan negara itu kerana dilaporkan menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW telah ditahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang semalam setelah melarikan diri dari negara itu.
Kolumnis berkenaan dilaporkan telah mengeluarkan satu laporan yang menghina Islam melalui twitternya, yang menyebabkan kemarahan rakyat Arab Saudi.



Hamza mengeluarkan laporan twitternya itu pada hari sambutan Maulidur Rasul minggu lepas dengan membayangkan seolah-olah dirinya berinteraksi dengan Nabi Muhammad SAW dan seolah-olah kedua-dua mereka adalah sama taraf.
Beliau turut menyatakan ada sifat Nabi Muhammad SAW yang disukai dan tidak disukainya.
Media negara itu melaporkan susulan laporan Hamza tesebut,sebanyak 30,000 entri twitter yang marah dengan laporannya dibuat dalam tempoh kurang 24 jam.
Difahamkan, pihak kerajaan Arab Saudi menunggu penghantaran pulang Hamza ke negara itu.

Wednesday, February 8, 2012

Ribut Melanda Pangsapuri Teratai, Bukit Subang

Bumbung 120 unit rumah di Pangsapuri Teratai, Seksyen 16, Bukit Subang, Shah Alam, Selangor diterbangkan angin dalam satu kejadian ribut petang tadi.

Sembilan unit rumah di blok satu dan dua mengalami rosak teruk ketika kejadian manakala selebihnya hanya mengalami kerosakan kecil.
Seorang penghuni pangsapuri, Yusof Jais, 55, berkata hujan lebat mulai turun sekitar pukul 3.30 petang dan disusuli angin kuat menyebabkan banyak pokok tumbang di kawasan pangsapuri itu.
"Angin kuat hanya mengambil masa lebih kurang tiga minit untuk menerbangkan bumbung rumah kami dan ini merupakan kejadian pertama berlaku di sini sejak ia dihuni.
"Saya dapat melihat angin kuat itu berpusing-pusing menyebabkan hampir kesemua bumbung blok satu dan dua dimusnahkan dan bertaburan di ruang bawah blok," katanya
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian kira-kira 3.30 petang itu kerana kesemua penghuni berjaya menyelamatkan diri.
Ketua blok pangsapuri, Mohd Sharif Lat, 39, berkata kesemua penduduk ditempatkan sementara di surau berdekatan dan menunggu pemantauan yang dibuat bomba mengenai status keselamatan pangsapuri itu.

Sunday, February 5, 2012

Salam Maulidur Rasul 1433H

Assalamualaikum....

Selamat menyambut Maulidur Rasul 1433H pada hari ini 12 Rabiul Awal bersemperna Hari Keputeraan Junjungan Nabi Muhamad SAW dengan memperbanyakkan berselawat keatasnya dan semoga kita diberkati dan dirahmati selalu....


Hadith: 

Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya: Didiklah anak-anak kamu atas tiga sifat iaitu: cintakan nabi mereka, cintakan keluarga Nabi dan membaca al-Quran.

Huraian 
1. Kita perlu beradab dengan Rasulullah SAW dalam semua keadaan sekalipun baginda sudah wafat.
2. Adalah tidak memadai mengasihi Rasulullah dengan sekadar berselawat memuji baginda sahaja sedangkan diri kita tidak pernah mencontohi segala tindakan dan akhlak baginda tetapi mengasihi Rasulullah mestilah disertakan dengan segala tindakan anggota badan iaitu dengan mendirikan segala kewajipan beribadat serta berusaha melaksanakan tuntutan yang lain sebagai menandakan keyakinan yang tidak berbelah bahagi terhadap kebenaran Islam yang dibawa oleh baginda.
3. Cintakan keluarga baginda pula bererti menjaga kemuliaan atau nama baik keluarga Rasulullah iaitu tidak membiarkan sebarang fitnah dan cercaan berlaku oleh orang-orang kafir atau mereka yang mahu mengkhianati Islam.
4. Al-Quran adalah peninggalan Rasulullah SAW, maka sebagai menjaga keteguhan iman dan aqidah, seorang Muslim itu hendaklah sentiasa membacanya dan menjadikan al-Quran sebagai petunjuk dan pedoman agar terhindar daripada kejahatan dan kesesatan.

BLOG INFO

Blogged.my My Ping in TotalPing.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...