Kementerian Pendidikan Malaysia bersetuju menangguhkan
permulaan sesi persekolahan bagi tahun 2015 selama seminggu berikutan banjir
yang melanda negara ketika ini, demikian umum Menteri Pendidikan, Tan Sri
Muhyiddin Yassin.
Dengan penangguhan ini, tarikh baru sesi bermula persekolahan tahun 2015 bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor adalah pada Ahad,11 Januari 2015.
Manakala bagi negeri-negeri lain pula akan bermula pada hari Isnin,12 Januari 2015.
"Seperti semua pihak maklum banjir yang sedang melanda negara sekarang masih berterusan khususnya di negeri-negeri pantai timur Semenanjung Malaysia," katanya.
Sehingga pada tarikh 28 Disember 2014, Kementerian Pendidikan Malaysia mendapati sejumlah 340 sekolah daripada tujuh negeri terlibat dengan banjir, sama ada dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara atau sekolah tersebut ditenggelami air akibat banjir.
"Sebagai Menteri Pendidikan, saya amat memahami dan mengambil berat akan kesukaran yang bakal dihadapi oleh semua pihak termasuk pengurusan sekolah, guru-guru, ibu bapa dan murid-murid sekiranya persekolahan bagi tahun 2015 dibuka seperti dijadualkan iaitu pada 4 Januari 2015 bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor dan pada 5 Januari 2015 bagi negeri-negeri lain.
Sehubungan itu, sukacita dimaklumkan bahawa KPM dengan ini bersetuju untuk menangguhkan permulaan sesi persekolahan di seluruh negara bagi tahun 2015 selama seminggu," kata Tan Sri Muhyiddin.