Sunday, October 26, 2014

Percutian Ke Cameron Highlands

Cameron Highlands, inilah destinasi percutian kami pada kali ini. Kami membuat perancangan awal kerana kali ini bersamaan dengan cuti panjang Deepavali yang mana agak sibuk dan sesak dengan orang ramai yang juga ingin berkunjung ke kawasan tanah tinggi tersebut. 

Kami mengambil perjalanan ke Cameron Highlands melalui Simpang Pulai, Perak yang mengambil masa selama kira-kira 4 jam dari Kuala Lumpur. Walaupun agak jauh sedikit daripada melalui Tapah tetapi perjalanannya sangat selesa dan lancar.

Kami sampai di kawasan tanah tinggi Cameron kira-kira jam 11.30am setelah bertolak pada awal pagi. Kami mulai dapat merasai keindahan panorama yang cukup memukau di kawasan ini. Ladang sayuran yang menghijau dan indah di lereng-lereng bukit. 

Destinasi pertama kami ialah Cameron Bharat Plantation Tea House. Bagi pengunjung yang melalui Simpang Pulai, Cameron Bharat Plantantion Tea House adalah tempat yang sesuai untuk menikmati keindahan dan juga merasai kunjungan ke Ladang Teh. Di sini juga, pengunjung boleh membeli teh dan barangan lain. Tea House juga tersedia untuk merasai kesegaran teh.





Dalam perjalanan ke Brinchang, kami singgah sekejap di Al Mashoor Strawberries untuk melihat tanaman Strawberi. Di sini tiada aktiviti kutip sendiri strawberi disediakan tetapi pengunjungan boleh menikmati teh dan strawberi coklat di kafe yang disediakan.




Dari jauh jelas kelihatan Lavender Garden yang menjadi destinasi kami yang seterusnya. Bayaran masuk ke Lavender Garden ialah RM 5.00 seorang bagi Dewasa dan kanak-kanak RM3.00. Taman ini sangat cantik dan menarik dengan pelbagai jenis bunga yang ditanam. Lavender Garden sangat sesuai bagi pengemar bunga dan pasangan pengatin baru untuk mengabadikan foto di sini. Taman ini juga menyediakan aktiviti self pick strawberry dengan bayaran RM10.00 / 200gram untuk 2 orang. Untuk pengunjung yang gemarkan cederamata, banyak kedai Souvenir disediakan. 













Destinasi seterusnya ialah Rose Valley di Tringkap. Disini terdapat banyak pokok bunga ros dan pelbagai jenis bunga yang ditanam. Bayaran masuk sebanyak  RM4.00 bagi  dewasa dan kanak-kanak RM2.00. Rose Valley ini agak tersorok sedikit dibelakang kedai-kedai souvenir disepanjang jalan. Di sebelah Rose Valley terletaknya Cameron Tringkap Bee Farm, di mana terdapatnya Museum Lebah dan barangan berasaskan madu lebah. Kedai menjual barangan souvenir juga banyak terdapat di sini. 




Kemudian kami singgah di Royal Berry untuk merasai sendiri memetik buah strawberi segar. Bayaran yang dikenakan agak murah RM3.50 / 100gram. Selepas memetik strawberi, kami singgah sekejap di kafe yang disediakan untuk minum petang. Teh perlu dibacuh sendiri disamping itu terdapat juga makanan petang lain yang dijual.




Selepas itu, kami bertolak untuk mencari  tempat untuk makan petang. Jalan mulai sibuk dengan kenderaan yang banyak, pergerakan agak perlahan. Kami berhenti di Restoran Nur Kasih Raihan yang terletak berhampiran dengan Hotel Titiwangsa untuk menjamu selera. 

Kemudian kami sampai di Hotel De La Ferns untuk check in kira-kira pukul 3:30 petang untuk merehatkan badan setelah seharian menikmati keindahan Tanah Tinggi Cameron. Kami hanya berehat di hotel pada sebelah petang kerana hari hujan. 

Makan malam kami di Steamboat Snack Corner yang terletak berhampiran dengan hotel kami. Bayaran yang dikenakan bagi satu set steamboat ialah RM 23.90. Selepas menikmati makan malam, hujan mulai turun menyebabkan kami mengambil keputusan pulang ke Hotel.  




Selepas sarapan pagi di hotel, kami berkunjung ke Tanah Rata sekejap. Kemudian kami berkunjung ke Kea Farm untuk membeli barangan untuk dibawa pulang. Di sini terdapat pelbagai barangan dijual, souvenir pun ada dijual. Waktu yang sesuai untuk berkunjung ke sini adalah pada awal pagi berbanding waktu petang yang agak sibuk.

Kami check out dari hotel kira-kira pukul 12.30 petang untuk menuju ke Boh Tea Plantation Sungai Palas. Kami melalui jalan yang agak curam, sempit dan berliku untuk sampai ke sini. Apabila sampai, kami melihat ladang yang menghijau dan cukup indah yang diusahakan oleh Boh Tea Plantation. Pengunjung juga dapat menikmati suasana yang mempesonakan dan pandangan ladang teh sambil menikmati secawan teh dan kek dari Teh House.








Selepas berkunjung di Boh Tea Plantation, kami bertolak pulang ke Kuala Lumpur. Pengunjung yang ingin berkunjung ke Cameron Highlands dinasihatkan supaya keluar awal pagi untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas terutamanya semasa musim cuti.

3 comments:

  1. sejuk mata memandang.indah sungguh alam ciptaanya.

    ReplyDelete
  2. Bestnye..nak datg gak.blogwalking

    Jemput ke blog
    jemput singgah

    ReplyDelete
  3. terima kasih ija & rohaiza... :)

    ReplyDelete

BLOG INFO

Blogged.my My Ping in TotalPing.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...