Seramai 5.4 juta penerima Bantuan
Rakyat 1Malaysia (BR1M 2014) yang mempunyai akaun bank akan menerima terus bayaran
berkenaan ke dalam akaun masing-masing pada 22 Feb ini serentak di seluruh
negara sebaik sahaja program BR1M dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak di Sekolah Menengah Aminuddin Baki di Kuala Lumpur nanti.
Sementara seramai dua juta lagi penerima
bayaran BR1M yang tidak mempunyai akaun bank akan menerima baucar secara
berperingkat dalam tempoh tidak melebihi 20 hari, bermula 23 Feb ini yang akan
diagihan kepada mereka oleh para pemimpin di kawasan parlimen masing-masing.
Bagi melaksanakan kesemua pakej BR1M
2014, kerajaan akan memperuntuk sejumlah RM4.6 bilion yang dijangka dapat
memanfaatkan sebanyak 7.9 juta penerima yang keseluruhannya melibatkan 4.63
juta isi rumah dan 2.4 juta individu bujang.
Pemberian BR1M kepada isi rumah
berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah dinaikkan daripada RM500 kepada
RM650, manakala bagi individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang
berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, nilai bantuan dinaikkan daripada
RM250 kepada RM300.
Sebagai tambahan, buat pertama
kalinya BR1M 3.0 diperluaskan kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan
antara RM3,000 hingga RM4,000 dengan nilai bantuan sebanyak RM450.
Pada BR1M 2014 kali ini juga, kerajaan turut
memperkenalkan Insurans Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia (i-BR1M) bernilai
RM50 kepada penerima isi rumah BR1M dengan nilai perlindungan minimum RM1,000
(kematian biasa) dan maksimum RM30,000 sekiranya berlaku kematian akibat
kemalangan atau hilang upaya kekal.