Malaysia berjaya mencipta rekod dunia
dalam sukan hoki apabila skuad wanita Malaysia membelasah Skuad hoki Kemboja
36-0 pada perlawanan kedua pusingan awal dalam temasya Sukan SEA ke-27 di Stadium
Hoki Theinphyu , Yangon, Myanmar petang tadi.
Skuad negara menjaringkan gol pada
setiap purata dua minit dengan 18 gol pada babak pertama dan mengulangi
jaringan sama pada babak kedua pada perlawanan selama 70 minit.
Sebelum ini, rekod jaringan paling
besar dipegang oleh Argentina apabila menumpaskan Peru 26-0 pada Kejohanan
Wanita Amerika Selatan di Santiago, Chile, pada 23 Mac 2003.
Semalam, Thailand menyamakan rekod
itu dengan mengalahkan Kemboja 26-0.
Pemain negara, Noor Hasliza Md Ali
muncul sebagai penjaring terbanyak perlawanan dengan enam gol pada minit ke-14,
25, 42, 43, 62 dan minit ke-64.
Fazillah Sylbester Silin turut
menyumbang lima gol pada minit ke-15, 31,35,55 dan 60, Nobaili Hashim empat gol
pada minit ke- 16, 30, 39 dan 65, Norazlin Sumantri empat gol pada minit ke-12,
21, 25 dan 60.
Kapten pasukan Nadia Abd Rahman
menjaringkan dua gol iaitu pada minit kelima dan 51, Norhidayah Bokhari pada minit ke-21,dan 28,
Rabiatul Adawiyah Mohamed pada minit ke-40 dan 55.
Lima gol lain masing-masing menerusi
Norashikin Halim pada minit ke-46, Nurul Nabila Mansur minit ke-23, Raja
Norsharina Raja Shabuddin minit ke-18, Surizan Awang Noh minit ke-52 dan Siti Nuramira Rohani melabuhkan tirai
jaringan pada minit ke-70. Satu gol lagi menerusi jaringan sendiri pemain
Kemboja.