Sunday, February 8, 2015

KWSP Isytihar Dividen 6.75% Bagi Tahun 2014



Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dengan kelulusan Menteri Kewangan,  telah mengisytiharkan kadar dividen 6.75% dan pendapatan pelaburan kasar RM39.08 bilion untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014, meningkat 11.66 peratus berbanding RM35.00 bilion pada 2013.
Bayaran dividen bagi 6.75 peratus berjumlah RM36.66 bilion di mana RM5.41 bilion diperlukan untuk membayar setiap satu peratus kadar dividen bagi 2014. Ini merupakan peningkatan sebanyak 10.53 peratus berbanding RM4.91 bilion yang dibayar untuk setiap satu peratus kadar dividen pada 2013, selaras dengan simpanan pencarum yang meningkat.

Penyata akaun KWSP yang telah dikreditkan dividen 2014 boleh disemak secara online melalui i-Akaun di laman web myEPF . Ahli juga boleh mendapatkan penyata akaun mereka dari Kios KWSP atau cawangan KWSP yang berdekatan mulai  Ahad, 8 Februari 2015. 

Setakat 31 Disember 2014, aset pelaburan KWSP berjumlah RM636.53 bilion, naik 7.91 peratus daripada RM589.87 bilion pada 2013. Pendedahan luar negara, yang membentuk 23 peratus daripada jumlah aset pelaburan KWSP, merupakan sebahagian daripada program diversifikasi untuk menjana pulangan konsisten bagi jangka panjang.

Saturday, February 7, 2015

Kumpulan Zero Juara Maharaja Lawak Mega 2014




Tahniah buat Kumpulan Zero yang dianggotai oleh Sahrif Kadil, Mohammad Syaiful dan Sharif Kunal kerana telah diumumkan sebagai juara Maharaja Lawak Mega 2014 (MLM 2014) di Stadium Putra Bukit Jalil, malam tadi.

Persembahan mantap dan menghiburkan daripada Kumpulan yang berasal dari Sabah ini melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM500,000 dan trofi sumbangan Astro.



Gelaran naib juara pula dimenangi oleh Sepahtu yang disertai oleh  Mohd Nadzri Zainal Abidin (Jep) dan Shahmira Muhammad (Shuip). Mereka berkongsi hadiah wang tunai sebanyak RM250,000 berserta sebuah trofi.

Sementara itu, satu-satunya peserta solo, Nabil mendapat tempat ketiga dan menerima hadiah berupa wang tunai RM150,000 berserta sebuah trofi.

Kumpulan Shiro menduduki tempat keempat dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM50,000 berserta trofi.

Manakala kumpulan Bocey berada di tempat kelima. Bocey membawa pulang hadiah iaitu wang tunai RM15,000 berserta trofi.

Jep (Sepahtu) turut memenangi kategori Man of the Match.

Persembahan malam final bertemakan muzikal dan bebas diadili oleh Datuk Jalaluddin Hassan, Taufik Batisah, Farah Quinn dan Nur Fazura yang merupakan juri tetap MLM 2014.

Sunday, February 1, 2015

Lapor Polis Jika Pasport Malaysia Antarabangsa Hilang




Mulai hari ini, 1 February 2015 Kementerian Dalam Negeri mewajibkan individu yang kehilangan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) sama ada di dalam negara atau luar negara membuat laporan di balai polis berdekatan. 

Kehilangan PMA boleh berlaku atas faktor kecuaian yang disengajakan atau musibah yang tidak dapat dielakkan seperti kecurian, samun, banjir atau kebakaran. Mereka yang kehilangan PMA dan berhasrat untuk membuat PMA baharu wajib mengemukakan laporan polis di Jabatan Imigresen Malaysia.

Bagi kes kehilangan akibat banjir, laporan polis tersebut perlu disertakan bersama laporan daripada Pihak Berkuasa Tempatan, manakala bagi kes kehilangan akibat kebakaran perlu menyertakan bersama laporan daripada pihak pasukan Bomba dan Penyelamat. 

Pasport Malaysia Antarabangsa merupakan dokumen yang dikeluarkan di bawah Akta Pasport 1966, yang akta ini mengawal pengeluaran, pemilikan dan perkara-perkara berkaitan dengan dokumen perjalanan.

Berdasarkan laporan Jabatan Imigresen Malaysia, sebanyak 18,037 kes kehilangan PMA dikesan pada 2012, manakala 2013 (19,579 kes) dan 16,789 kes bagi 2014. 


Pasport Malaysia Antarabangsa mempunyai nilai tinggi di peringkat global kerana pemegang PMA menikmati kebebasan untuk memasuki 163 daripada 219 negara tanpa visa. 

Tuesday, January 27, 2015

Pencipta Pen Drive Rakyat Malaysia



Tahukah anda bahawa Pen Drive dicipta oleh Pua Khein-Seng, seorang rakyat Malaysia yang berasal dari Sekinchan, Selangor. Beliau dilahirkan pada 29 Jun 1974.
Pada umur 19 tahun, Pua meninggalkan Malaysia untuk melanjutkan pelajaran ke Taiwan. Ketika dalam pengajian tahun ketiga di Universiti Chiao Tung, beliau yang merupakan pelajar jurusan kejuruteraan memulakan kajian dalam teknologi ‘flash memory’.
Pua Khein-Seng bersama dengan empat lagi rakan kongsi yang lain menubuhkan Phison Electronics Corp yang mana beliau sebagai Ketua Pegawai Eksekutifnya bagi menghasilkan teknologi ‘single-chip controller’ pertama di dunia pada tahun 2001.
Kejayaan Pua telah melayakkan beliau untuk menerima pelbagai anugerah dari Taiwan dan juga Malaysia.

Pada tahun 2012 Pua Khein-Seng dianugerahkan Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang membawa gelaran Datuk.

Sunday, January 18, 2015

Pos Malaysia Keluar Setem Tumbuhan




Pos Malaysia Berhad akan mengeluarkan koleksi siri ketiga setem dan filateli bertemakan tumbuhan berkhasiat untuk keluaran pertama pada tahun 2015 ini.


Koleksi tumbuhan tersebut menampilkan empat jenis tumbuhan berkhasiat, iaitu Misai Kucing (Orthosiphon stamineus Benth), Hempedu Bumi (Andrographis paniculata), Roselle (Hibiscus sabdariffa L.) dan Belalai Gajah (Clinacanthus Nutans).
Koleksi tersebut akan mulai dijual kepada orang ramai pada hari Selasa ini di semua cawangan pejabat pos seluruh Negara.
Setem berukuran 30mm x 40mm tersebut dicetak secara eksklusif menggunakan Kertas Tera Air SPM , Bersalut Fosfor. 
Setem-setem tersebut boleh didapati dalam tiga denominasi iaitu RM0.60 (Misai Kucing), RM0.70 (Roselle) dan RM0.80 (Hempedu Bumi) setiap satu. Bagi lembaran mini bersaiz 100mm x 70mm yang menampilkan tumbuhan Belali Gajah berserta setem berukuran 30mm x 40mm boleh didapati pada harga RM3.00 setiap satu.
Sampul Surat Hari Pertama juga boleh didapati pada hari pertama keluaran dengan harga RM0.50 sekeping atau RM2.60 bersama satu set setem manakala set lengkap dijual dengan harga RM57.10.

Pelanggan atau peminat setem juga boleh menggunakan kemudahan dalam talian menerusi 'Philately Online' di www.posonline.com.my untuk membuka akaun SODA, menambah nilai dan memeriksa baki akaun SODA, serta mengemas kini butir peribadi.

Saturday, January 10, 2015

Ekor Pesawat AirAsia QZ8501 Berjaya Dibawa Keluar



Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) berjaya membawa naik ke permukaan air bahagian ekor pesawat AirAsia QZ8501 setelah ia dikesan terbenam di dasar laut berhampiran Pangkalan Bun di Kalimatan Tengah.

Bahagian pesawat itu dibawa ke Pangkalan Bun untuk tindakan seterusnya mencari kotak hitam pesawat. Kerja-kerja membawa naik bahagian ekor pesawat itu mengambil masa lebih 7 jam dan ia menggunakan kaedah diapungkan dengan enam belon pelampung (floating beg).

Bahagian ekor pesawat itu dikesan tiga hari lepas dan ia didapati dalam keadaan terbalik dan terbenam dalam dasar laut yang berselut.

Pihak berkuasa masih tidak pasti sama ada kotak hitam berada dalam bahagian ekor tersebut.Operasi SAR yang dikendalikan oleh Badan SAR Nasional (Basarnas) dan dibantu oleh beberapa negara lain termasuk pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu memasuki hari ke-14 hari ini.

Pesawat yang membawa 162 penumpang dan anak kapal itu telah berlepas dari Surabaya pada 5.35 pagi dan dijadual tiba di Singapura pada 8.20 pagi hari yang sama (28 Disember).Ia terputus hubungan dengan kawalan trafik udara indonesia sejurus berlepas.Pesawat kemudian dilaporkan terhempas di Laut Jawa.


Penumpang pesawat itu terdiri daripada 149 orang warga Indonesia, Korea Selatan (tiga) dan masing-masing seorang rakyat Singapura, Malaysia dan United Kingdom. Kru terdiri daripada enam Indonesia dan satu Perancis. 

Monday, January 5, 2015

KWSP Perkenal e-Pengeluaran untuk Pinjaman Perumahan




Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan ahli-ahli yang mempunyai pinjaman perumahan dengan RHB Bank dan Maybank boleh memilih menghantar permohonan pengeluaran mereka secara dalam talian melalui kemudahan e-Pengeluaran untuk pembayaran balik pinjaman perumahan.

Kemudahan itu yang disediakan melalui i-Akaun, memudahkan permohonan pengeluaran secara dalam talian bagi pembayaran ansuran bulanan pinjaman perumahan dan mengurangkan atau menyelesaikan baki pinjaman perumahan.


Kemudahan e-Pengeluaran membolehkan ahli menghantar permohonan pengeluaran secara dalam talian dengan cepat, tepat dan mudah. Ahli hanya perlu datang ke cawangan KWSP untuk pengesahan ibu jari. Untuk keterangan lanjut Ahli boleh hubungi Pusat Panggilan KWSP di talian 03-89226000.

BLOG INFO

Blogged.my My Ping in TotalPing.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...