Friday, March 18, 2011

Bank Negara: Maksimun dua kad kredit saja

Bank Negara Malaysia memperkenalkan syarat kelayakan baru untuk mendapatkan kad kredit berkuatkuasa serta merta, pada hari ini.
Antara syarat-syarat baru adalah kelayakan pendapatan minimum bagi memohon kad kredit dinaikkan kepada RM24,000 setahun daripada RM18,000 setahun berkuat kuasa serta merta.

NONEBagi pemohon atau pemegang kad yang memperoleh RM36,000 setahun atau kurang, mereka akan boleh memiliki kad kredit daripada dua pengeluar kad sahaja, kata Timbalan Gabenor BNM Nor Shamsiah Mohd Yunus pada taklimat media di Kuala Lumpur hari ini.

"Bagi pemegang kad sedia ada yang memiliki kad kredit lebih daripada dua pengeluar kad, mereka diberikan tempoh sehingga 31 Dis, 2011 untuk menentukan pengeluar kad pilihan masing-masing," kata beliau.

Pada masa ini, 50 peratus daripada 3.2 juta pemegang kad kredit mempunyai pendapatan di bawah RM36,000.

Nor Shamsiah berkata pemegang kad juga diberikan sekurang-kurangnya dua tahun bagi menyelesaikan baki tertunggak mereka untuk kad-kad yang dibatalkan bagi tujuan memenuhi keperluan itu.

Had maksimum kredit yang diberikan kepada pemegang kad juga tidak boleh melebihi dua kali ganda pendapatan bulanan pemegang kad bagi setiap pengeluar kad.

Pengeluar kad akan berurusan dan berbincang dengan pemegang kad yang terbabit bagi membantu mereka menstruktur semula pembayaran hutang dalam usaha memudahkan pelaksanaan langkah berkenaan, jelas beliau.

Nor Shamsiah berkata langkah itu merupakan usaha berterusan bagi memupuk amalan pengurusan kewangan dan hutang yang berhemat di kalangan pemegang kad kredit.

Sehingga akhir 2010, jumlah hutang kad kredit sebanyak RM30.8 bilion atau lima peratus daripada hutang isirumah.

Walaupun penggunaan kad kredit terus meningkat, nisbah pinjaman tidak berbayar (NPL) kekal rendah. Sehingga akhir 2010, NPL kad kredit hanya 1.7 peratus jumlah pinjaman kad kredit dan dua peratus jumlah NPL sistem perbankan.

- Bernama

No comments:

Post a Comment

BLOG INFO

Blogged.my My Ping in TotalPing.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...