Friday, July 29, 2011

Norman Hakim dan Memey Suhaiza Bebas Tuduhan Khalwat


Pasangan pelakon, Norman Hakim dan Memey Suhaiza 'menerima' hadiah perkahwinan dua bulan lebih awal, apabila mereka dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan berkhalwat, yang dihadapi sejak tiga tahun lalu.

Hakim Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Salehan Yatim membuat keputusan itu hari ini, tanpa mendengar pembelaan mereka, selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah gagal untuk membuktikan prima facie terhadap pertuduhan.

Hakim Salehan melepas dan membebaskan Norman, 35, dan Memey, 23, daripada tuduhan berkhalwat yang didakwa dilakukan pada antara pukul 1.45 dan 3 pagi, 30 Oktober 2008 di pejabat beralamat 4-A1, Jalan UP1/2, Taman Ukay Perdana, Ampang.

Norman dan Memey yang hadir bersama di mahkamah pada pukul 9.30 pagi, mengakui bahawa mereka agak emosional semasa mendengar penghakiman tersebut menyebabkan mereka menangis.

Pasangan yang akan diijabkabulkan pada 24 September ini, juga tidak putus-putus melafazkan ucapan syukur manakala Norman segera ke surau berhampiran untuk menunaikan solat sujud syukur.

"Alhamdulillah, saya tidak mampu untuk berkata-kata. Tiga tahun kami berdepan dengan situasi ini dan hanya Allah sahaja yang mengetahui apa yang kami rasakan," kata Norman.

Memey yang memakai baju kurung dan berselendang ungu yang mengambil masa untuk menenangkan diri pula memberitahu, keputusan tersebut adalah berita yang paling dinanti-nantikannya.

"Ini adalah berita yang sangat gembira buat saya di saat-saat saya mahu mendirikan rumah tangga. Segala dugaan yang saya hadapi telah berakhir," katanya

Wednesday, July 27, 2011

Jom Makan Buah Di Taman Warisan Pertanian Putrajaya

Assalammualaikum n Selamat Sejahtera Semua....

Pada hujung minggu ini, 29~31 Julai akan diadakan Pesta Jom Makan Buah di Taman Warisan Pertanian Putrajaya. Jika rakan-rakan ada kelapangan dan tiada aktiviti lain bolehlah ke sana beramai-ramai. Pesta akan bermula dari pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam.


Saturday, July 23, 2011

Gambar Suasana Pesta Flora Putrajaya 2011

Pesta Bunga dan Taman Putrajaya, Floria Putrajaya 2011 yang diadakan di Waterfront Presint 2, Putrajaya telah berakhir pada 17 Julai lepas. Ramai peminat dan pengemar bunga dan seni taman telah berkunjung ke pesta tersebut untuk menikmati keindahan bunga-bungaan dan seni rekaan taman. Bagi yang tidak berkesempatan berkunjung, di sini saya ada beberapa keping gambar untuk dikongsi bersama.


























Jumpa Lagi Di Floria Putrajaya 2012 tahun depan

Tuesday, July 19, 2011

Tip Untuk Mendapat Buffered Earning Daripada Nuffnang

Assalamualaikum & Salam sejahtera semua....


Saya sebenarnya hendak berkongsi tip-tip yang diperlukan untuk mendapatkan Buffered Earning daripada Nuffnang kepada semua blogger yang mana pada suatu hari saya ada menghantar satu tiket kepada pihak Nuffnang bertanyakan tentang apakah kriteria yang diperlukan oleh sesebuah blog untuk berpeluang dipilih diberikan Buffered Earning.

Walaupun tip-tip ini sebenarnya telah lama diketahui dan diamalkan oleh Otai-Otai blogger tetapi ia mungkin amat berguna untuk blogger yang masih baru dalam dunia blog terutamanya yang memasang iklan Nuffnang dan kepada blogger yang masih mencari pengiklanan yang sesuai untuk blog masing-masing. Semoga tip-tip ini dapat memberi sedikit panduan kepada mereka dan juga kepada saya sendiri.

Ribuan Terima Kasih saya ucapkan kepada pihak Nuffnang kerana sudi menjawab dan membalas pertanyaan tersebut dengan pantas dan panjang lebar sekali.

Berikut adalah jawapan kepada pertanyaan saya tersebut:

Untuk mendapat ruang "Buffered Earning" pada "Earnings" anda, pertama sekali anda haruslah dipilih oleh Pihak Pengiklan (Advertisers) kami untuk membuat kempen CPM bagi pihak mereka. Terdapat beberapa faktor yang menentukan peluang anda untuk dipilih untuk kempen CPM. Pihak Pengiklan (Advertisers) memilih blog yang mereka ingin iklankan berdasarkan beberapa faktor seperti berikut :

Disebabkan Pihak Pengiklan (Advertiser) senantiasa mempunyai pasaran khusus untuk kempen mereka, maka mereka akan memilih blog yang mempunyai pembaca blog yang berpadanan sebagai sasaran mereka. Jika pembaca blog anda termasuk di dalam kategori itu, maka peluang untuk anda dipilih untuk mereka adalah sangat tinggi. Kebanyakan bloggers yang tidak mengisi ruang 'survey' yang disediakan dengan betul berkemungkinan tinggi mendapati blog mereka tidak terpilih untuk mendapat kempen atau iklan daripada Advertisers. Ini kerana, 'survey' tersebut berfungsi untuk Advertisers kami mengenali isi kandungan blog bloggers kami dengan lebih baik. Mana-mana blog yang tidak mengisi ruang 'survey' selalunya tidak akan diendahkan oleh Advertisers kami kerana mereka tidak akan tahu jika kempen mereka bersesuaian atau tidak dengan isi kandungan blog tersebut. Oleh itu, kami amat menggalakkan anda mengemaskini laman 'survey' anda dari masa ke semasa untuk menaikkan peluang blog anda dipilih oleh Advertisers kami.

Kebersanan penempatan iklan juga sangat penting dalam industri pengiklanan. Pengiklan kami telah menghabiskan banyak wang untuk mencorakkan iklan mereka dan membeli ruang iklan. Mereka perlu memastikan mesej yang ingin mereka sampaikan kepada pasaran khusus mereka sampai dengan efektifnya. Oleh itu, mereka senantiasa akan membeli ruang iklan yang hanya telah dioptimumkan sepenuhnya dan diletakkan pada tempat yang berkesan. Kesimpulannya, anda hanya perlu meletakkan unit iklan anda pada tempat yang sepatutnya dan faktor ini akan memuaskan Pihak Pengiklan.

Sebagai contoh, sesuatu unit iklan "Skyscraper" seharusnya menjadi elemen pertama di sidebar dan bukan di tempat lain. Hal yang sama juga bagi unik iklan "Leaderboard" yang seharusnya menjadi elemen pertama yang dapat dilihat di saat pengunjung masuk ke laman web anda. Manakala, unit iklan "Large Rectangle" pula seharusnya ditempatkan betul-betul di bawah entri pertama anda. Jika unit iklan blog anda tidak mengikut garis panduan yang telah dinyatakan seperti di atas, hal ini akan banar-benar mempengaruhi keputusan Pengiklan untuk memilih blog anda dan berkemungkinan tinggi menyebabkan mereka memilih blog lain.

Selain itu, ruang unit iklan juga memainkan peranan penting bagi Blogger untuk dipilih dalam sesuatu kempen. Semua Pihak Pengiklan kami membuat pembahagian yang sama rata pada ketiga-tiga unit iklan kami iaitu, Leaderboard, Skyscraper, dan Large Rectangle setiap kali mereka beriklan dengan kami. Jika blog anda mempunyai kesemua 3 unit iklan di dalamnya, maka peluang anda untuk terpilih bagi sesuatu kempen adalah amat cerah.

Keahlian eksklusif memainkan peranan dalam kempen iklan kerana Pihak Pengiklan kami lebih cenderung untuk meletakkan iklan mereka pada blog-blog berstatus Glitterati kerana ini merupakan sebahagian daripada program hadiah kami untuk Bloggers kami yang paling setia dengan kami. Ahli biasa masih akan dipilih untuk kempen tetapi dalam angka yang lebih rendah berbanding dengan ahli Glitterati.

Oleh itu, anda perlulah mengambil semua inisiatif untuk meningkatkan peluang blog anda untuk mendapat perhatian daripada Pihak Pengiklan, dengan selalu mengemas kini blog anda, menempatkan unit iklan anda di tempat yang betul, dll. Jika nasib menyebelahi anda, dan Pihak Pengiklan memilih anda untuk kempen CPM mereka, maka peluang untuk anda mendapat beberapa angka di ruang "Buffered Earning" adalah sangat cerah!

Good luck dan selamat berblogging!

Cheers,
Anne Cheah
Blogger Relations

Nuffnang Sdn Bhd

www.nuffnang.com.my

Saturday, July 16, 2011

Perlawanan Persahabatan Malaysia dan Liverpool


Tahniah kepada Liverpool kerana telah memberikan Malaysia pengalaman yang berharga betapa pentingnya fokus dalam permainan bolasepak. Akibat hilangnya fokus dan sedikit kesilapan terutamanya dibahagian pertahanan kita dibolos 6 kali dalam perlawanan persahabatan diantara Kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool dan Malaysia petang tadi.

Dalam perlawanan yang disaksikan lebih 80,000 penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, Liverpool mengalahkan Malysia 6 - 3. Gol-gol Liverpool dijaringkan oleh Charlie Adam (minit ke-26), David Ngoc (57 & 58), Maxi Rodriguez (74 & 90) dan Dirt Kuyt (93).

Gol-gol Malaysia dijaringkan oleh Safiq Rahim melalui sepakan percuma yang menakjubkan pada minit ke-42 dan 2 gol oleh Mohd Safee Sali pada minit ke-79 dan 81.

Friday, July 15, 2011

Jom Makan Durian Linkedua


Dengan hanya RM15.00, penggemar raja buah, durian boleh makan sebanyak yang boleh di Festival Plus "Jom Makan Durian" yang diadakan di Kawasan R & R Gelang Patah (Arah Selatan), Lebuhraya Linkedua(Laluan Kedua Malaysia-Singapura) dari 15 julai hingga 17 julai.

Dianjurkan oleh Plus Expressways ini merupakan yang pertama kali diadakan di R & R Gelang Patah bertujuan menggalakkan makan durian kepada pengguna lebuhraya.

Festival ini adalah kesinambungan dari Festival yang pernah diadakan di Kawasan R & R Bukit Gantang, Seremban dan Mambau baru-baru ini. Festival bermula dari pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam.

Wednesday, July 13, 2011

Sunday, July 10, 2011

Cesc Febragas Tiada Dalam Senarai Arsenal Ke Malaysia


Kapten Arsenal, Cesc Febragas telah disahkan tidak dapat menyertai skuad The Gunners dalam siri jelajah Asia kerana masalah kecederaan Otot. Perkara tersebut telah diperkatakan sendiri oleh pengurus Arsenal, Arsene Wenger. Cesc Febragas adalah pemain yang cuba dikekalkan oleh Arsene Wenger di Emirates walupun dilaporkan Febragas bersungguh-sungguh mahu kembali ke Barcelona, kelab yang disertainya pada usia 10 tahun sebelum berpindah ke Arsenal pada usia 16 tahun.

Ketiadaan binatang sensasi yang dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona dengan nilai tawaran 27 juta pound (RM135 juta) dalam skuad ini tertentu sekali mengecewakan peminat Asia terutamanya Malaysia yang menantikan perlawanan antara Malaysia dan Arsenal Rabu ini, 13Julai di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Kecuali Cesc Febragas, nama-nama besar lain seperti Robin van Persie, Samir Nasri, Andrey Arshavin, Theo Walcott dan Aaron Ramsey masih ada dalam skuad jelajah Asia ini.
Turut tersenarai adalah pemain sayap remaja Jepun, Ryo Miyaichi.

Selepas perlawanan di Malaysia, pasukan Arsenal akan terbang ke Hangzhou di China untuk perlawanan seterusnya menentang Hangzhou Greentown pada petang Sabtu.

Skuad Arsenal:

Wojciech Szczesny
Mannone Vito
Sebastien Squillaci
Johan Djourou
Kieran Gibbs
Carl Jenkinson
Laurent Koscielny
Andrey Arshavin
Marouane Chamakh
Ryo Miyaichi
Armand Traore
Thomas Vermaelen
Bacary Sagna
Theo Walcott
Alex Song
Jack Wilshere
Tomas Rosicky
Denilson
Aaron Ramsey
Emmanuel Frimpong
Samir Nasri
Carlos Vela
Robin van Persie

Friday, July 8, 2011

Bersih- Jalan Ditutup

KUALA LUMPUR - Beberapa jalan utama di sekitar bandar raya akan ditutup dan dilencongkan mulai pukul 12.01 tengah malam ini, demikian pengumuman Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini.

Menurut laman sosial, Facebook PDRM, jalan-jalan yang terlibat ialah sepanjang Jalan Syed Putra, Jalan Istana, Jalan Bukit Petaling, Jalan Bellamy dan kawasan sekitar Istana Negara.
Jalan yang turut ditutup ialah sepanjang Jalan Sultan Hishammuddin, Jalan Lembah Perdana, Jalan Chenderasari dan kawasan sekitar Masjid Negara.

Jalan lain yang terlibat ialah kawasan sekitar Dataran Merdeka, Pasar Seni, Masjid Jamek, Dataran DBKL, Kompleks Sogo, Maju Junction, Masjid Kampung Baru, Jalan Kinabalu, Jalan Kuching, Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Laut, Jalan Sri Amar, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Haji Taib, Jalan Raja Muda Musa, Jalan Raja Bot, Jalan Raja Abdullah, Jalan Dang Wangi, Jalan Munshi Abdullah, Jalan
Gereja, Jalan Raja Chulan, Jalan Tun Perak, Jalan Tun Tan Cheng Loke, Jalan Sultan Mahmud dan semua kawasan berhampiran.
Polis meminta orang ramai memberi kerjasama untuk sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan arahan semasa oleh anggota polis trafik yang membuat kawalan.

Polis juga menasihatkan orang ramai yang tidak mempunyai urusan penting di pusat bandar agar tidak memasuki kawasan berkenaan esok bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas. - Bernama

Tuesday, July 5, 2011

Pesta Bunga Api Di Malam Pesta Flora Putrajaya 2011


Langit sekitar Putrajaya bakal dihiasi dengan percikan bunga api selama sembilan hari bermula Sabtu ini yang juga merupakan sebahagian daripada Malam Pesta Flora Pelancongan Antrabangsa 2011.

Sebanyak 50 bot berhias akan belayar sejauh tiga kilometer sekitar Tasik Putrajaya. Pesta tersebut akan bermula pada pukul 8.30 malam hingga 10.30 malam, dari 9 hingga 17 Julai ini. Acara ini bakal melengkapkan Pesta Flora di Putrajaya yang akan diadakan pada siang hari.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata kementeriannya akan menganjurkan program tersebut dengan tema ‘Magis di Malam Hari’ dan kira-kira 700,000 pelancong dari dalam dan luar negara dijangka hadir pada pesta tersebut.

“Kita akan menampilkan kereta berhias yang ditaja oleh syarikat dan negara luar seperti Brunei dan Kemboja,” katanya pada sidang media di Pusat Pelancongan Malaysia di sini.

“Bawa tikar dan keluarga, nikmatilah keindahan waktu malam dengan berkelah di tasik Putrajaya dengan dihiasi panaroma yang cantik,” katanya.

Monday, July 4, 2011

Malaysia Bertemu Singapore Pada Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2014

Sudah lama Malaysia gagal layak kepusingan kedua kelayakan Piala Dunia, sudah hampir 34 tahun, lama tu. Dan sebentar tadi Pemain negara bimbingan ketua jurulatih, Datuk K Rajogobal membuktikan semangat Malaysia Boleh apabila membenam saingan sukar Taiwan di Stadium Perbandaran Taipeh, Taiwan.

Walaupun Malaysia tewas 2-3 kepada Taiwan dalam perlawanan tersebut tetapi agregat 4-4 memberi kelebihan kepada Skuad kita untuk layak kepusingan seterusnya apabila peraturan jaringan gol di tempat lawan diambil kira. Pada perlawan pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Rabu lalu, Malaysia menang dengan jaringan 2-1.

Malaysia memperolehi jaringan menerusi jaringan cantik daripada Aidil Zafuan Abdul Razak dan Kapten pasukan Safiq Rahim yang kedua-dua gol melalui sepakan percuma yang cantik dari luar kawasan penalti.

Lawan Malaysia dipusingan kedua nanti adalah Singapura yang akan berlansung pada 23 Julai di Singapura dan perlawanan kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 28 Julai.

Saturday, July 2, 2011

Mesin Automatik Jual Emas Di London



LONDON – Sebuah mesin automatik di sebuah pusat beli-belah Westfield, di barat London menjual kepingan emas, lapor sebuah akhbar semalam.
Sebuah komputer di dalam mesin itu akan mengemas kini harga emas setiap 10 minit berdasarkan harga di pasaran dunia.

Para pembeli boleh memilih wang syiling emas seberat satu gram berharga £40 (RM192.97) atau kepingan emas seberat 250 gram yang berharga £10,250 (RM49,445) dengan menggunakan mesin tersebut.

Mesin itu juga mengeluarkan kepingan emas kecil seberat 2.5 gram dengan harga £100 (RM482.46)
Kepingan emas paling kecil yang dijual di mesin itu ialah satu gram.
Tidak ada pengawal keselamatan yang mengawasi mesin automatik itu namun ia diperkukuhkan dengan besi dan dilengkapi sistem penggera keselamtan. – Sumber: Kosmo

- Bolehkah mesin jual emas ini diperkenalkan di negara kita. Apakah keselamatannya terjamin....

Friday, July 1, 2011

Kenaikkan Yuran Langganan Astro


Tentu ramai pelanggan Astro yang sudah mendapat surat pemberitahuan tentang kenaikan yuran langganan mereka yang bertajuk "Perubahan Ke Atas Langganan Astro Anda" menarik nafas lega apabila kerajaan bersetuju untuk tidak membenarkan Astro menaikkan tarif perkhidmatan mereka itu selagi tidak mendapat kebenaran dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata isu tarif itu telah dibincangan dalam mesyuarat Kabinet hari ini dan Kabinet berpendapat Astro tidak sewajarnya menaikkan apa pun tarif berkaitan perkhidmatan mereka pada waktu ini.

"Saya telah bersetuju untuk SKMM tidak membenarkan kenaikan sebarang tarif Astro kecuali ianya telah diluluskan oleh SKMM, dan mengikut kadar yang berpatutan, serta mengikut lunas undang-undang, " katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pasca-Kabinet di Angkasapuri, Kuala Lumpur.

BLOG INFO

Blogged.my My Ping in TotalPing.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...